MCMC-UNICEF : Child Online Protection

31 Mac 2021 | Aktiviti Terkini

MCMC dan UNICEF telah mengadakan sebuah seminar perlindungan kanak-kanak di dalam talian (child online protection- COP). Seminar ini adalah lanjutan daripada Persidangan Rantau ASEAN Mengenai Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian yang telah diadakan pada bulan Februari 2020. Ia adalah sebuah platform perkongsian bagi pelbagai pihak berkepentingan dari Malaysia dan negara-negara lain untuk bertukar pandangan, pengalaman, serta amalan terbaik.Isu-isu yang akan dibincangkan berfokus kepada perkara-perkara seperti situasi dan cabaran terkini yang dihadapi di Malaysia selaras dengan hasil perbincangan dan cadangan daripada persidangan ASEAN mengenai perkembangan isu sedia ada dan baru muncul, termasuk keutamaan baru yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Selain itu, seminar ini akan diadakan dalam dua sesi berdasarkan fokus dan sasaran audiens iaitu sesi sebelah pagi akan membincangkan topik umum seperti buli siber, keibubapaan digital, dan kesan COVID-19 terhadap perlindungan kanak-kanak dalam talian. Sasaran audiens untuk sesi ini adalah para pendidik, ibu bapa, kanak-kanak, remaja, belia, dan ahli komuniti yang lain. Manakala, sesi sebelah petang pula dikhususkan untuk pembentangan dan perkongsian oleh para penggubal dasar dan pakar perlindungan kanak-kanak dalam talian termasuk kajian semula Polisi dan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian. Para pemimpin dan pakar antarabangsa dan serantau ini akan berkongsi pandangan dan pengalaman bagi membantu Malaysia membentuk suatu hala tuju; mereka juga akan membuat perkongsian mengenai program-program di peringkat antarabangsa, pengumpulan data, dan perkongsian maklumat serantau. Sesi ini akan turut mengutarakan hasil perbincangan di persidangan ASEAN pada tahun lepas dan panduan kepada negara-negara dalam membangunkan hala tuju atau pelan tindakan perlindungan kanak-kanak dalam talian.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali